Previous Page Table of Contents Next Page


RINGKASAN EKSEKUTIF

Taman Laut Pulau Payar yang terletak di luar pantai barat negeri Kedah di barat laut Semenanjung Malaysia, merupakan sebuah destinasi pelancongan yang terkenal. Ia terletak di antara dua buah destinasi pelancongan yang juga terkenal iaitu Pulau Langkawi dan Pulau Pinang. Taman Laut ini terdiri daripada sekumpulan empat pulau - Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang - Pulau Payar adalah yang terbesar dengan keluasan 31.2 hektar. Sejak dijadikan Taman Laut pada 1989, pulau-pulau yang tidak berpenghuni ini tidak digunakan oleh kaum nelayan.

Tarikan utama para pelancong ke sini ialah terumbu karangnya yang dapat memenuhi keperluan para pensnorkel terutamanya. Terdapat juga kegiatan menyelam di sekitar Taman Laut ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, Taman Laut ini menyaksikan pertambahan bilangan pengunjung yang amat besar. Pertambahan ini telah meningkat secara tahunan daripada 1,373 orang pada tahun 1988 kepada 70,419 orang pada tahun 1995, iaitu sebanyak 5,000% dalam tempoh tujuh tahun. Tekanan terhadap terumbu-terumbu karang turut meningkat akibat pembangunan pelancongan dan kegiatan-kegiatannya.

Kajian ini telah dijalankan untuk mengutarakan beberapa isu berkaitan dengan keupayaan daya tampung di Taman Laut Pulau Payar. Kajian ini terbahagi kepada dua komponen; iaitu kajian ke atas terumbu-terumbu karang yang merupakan kawasan menyelam yang popular, serta tinjauan darat yang melibatkan pengedaran borang soal selidik kepada para pelawat, para penyelam, pengusaha pelancongan dan pengusaha penyelaman.

Konsep keupayaan daya tampung menekankan kepada pengurusan keadaan-keadaan sosial dan alam sekitar yang diingini dan boleh digunakan untuk mengenal pasti ambang-ambang yang memerlukan perhatian. Keupayaan daya tampung membayangkan bahawa terdapat had ambang terhadap penggunaan, jika terlampau, keadaan di persekitaran terumbu karang akan terjejas, kemudahan-kemudahan akan menjadi tepu dan rasa puas hati di kalangan pengunjung akan hilang. Ini merupakan ciri-ciri utama bagi industri pelancongan yang mapan dan harus dipelihara. Lazimnya, setiap penggunaan manusia terhadap alam sekitar yang semula jadi pasti akan mengakibatkan beberapa perubahan kepada alam sekitar. Tumpuan konsep ini ialah untuk mengenal pasti berapa banyak perubahan yang boleh diterima bagi sesuatu persekitaran, dan mengutarakan tindakan-tindakan yang mungkin boleh diambil untuk mengurangkan atau menghadkan kesan-kesan antropogen yang buruk terhadap persekitaran terumbu karang.

Kebanyakan para pengunjung ke Taman Laut Pulau Payar terdiri daripada orang asing dengan rakyat Taiwan dan Jepun merupakan kumpulan-kumpulan yang terbesar. Para pengunjung yang kebanyakannya datang dari Pulau Langkawi, cuma datang untuk sehari kerana Taman Laut ini tidak menyediakan kemudahan-kemudahan penginapan. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa industri menyelam di Taman Laut Pulau Payar masih tidak tepu. Walau bagaimanapun, mensnorkel merupakan aktiviti yang paling digemari dan ianya tertumpu di 'Marine Park Centre House Reef' dan 'Langkawi Coral Pontoon House Reef'. Pemasukan bilangan pelancong yang besar serta kegiatan-kegiatan mereka boleh mengakibatkan kerosakan fizikal secara langsung terhadap persekitaran terumbu di samping menimbulkan masalah-masalah lain yang berkaitan seperti pencemaran akibat pelancongan.

Berikutan dengan peningkatan dalam bilangan pelancong dan arah aliran kunjungan mereka ke Taman Laut Pulau Payar, perubahan seterusnya untuk meningkatkan pembangunan pelancongan dan kegiatan-kegiatannya tidak dapat diterima. Ini adalah berdasarkan kepada potensi kesan-kesan negatif terhadap alam persekitaran marin terutama sekali terumbu-terumbu karang, kesempitan ruang secara fizikal, kekurangan kemudahan-kemudahan yang disediakan terutama tandas, pembuangan kumbahan dan sisa pepejal serta peningkatan rasa tidak puas hati para pengunjung terhadap beberapa aspek Taman Laut tersebut yang kini sudah mula dialami. Walaupun beberapa langkah boleh diambil untuk meningkatkan keupayaan daya tampung, ini bukan bermakna mengambil langkah untuk meningkatkan bilangan pengunjung ke Taman Laut. Sebaliknya meningkatkan keupayaan daya tampung bererti mengambil langkah-langkah pengurusan yang sesuai untuk memastikan terumbu-terumbu karang mendapat kerosakan yang minima walaupun telah dieksploitasikan sebagai daya tarikan pelancong, memenuhi rasa puas hati para pengunjung dan memastikan bahawa kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah mencukupi.

Taman Laut ini memerlukan satu strategi pengurusan yang terperinci untuk memastikan bahawa kegiatan-kegiatan pelancong mendatangkan kerosakan minima kepada persekitaran terumbu karang. Pendekatan dua penjuru bagi pengurusan Taman Laut ini diperlukan - satu strategi untuk Taman Laut itu sendiri, dan satu lagi untuk penggalakkan pelancongan dengan memenuhi matlamat-matlamat Taman Laut tersebut.

Berdasarkan kedudukannya yang berhampiran dengan Pulau Langkawi serta potensi kesan-kesan hilirannya, strategi pengurusan Taman Laut Pulau Payar harus disepadukan dengan perancangan dan pengurusan Pulau Langkawi secara keseluruhan. Langkah-langkah pengurusan positif yang boleh diambil dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun termasuklah pengezonan Taman Laut; mewartakan pulau-pulau tersebut sebagai Taman Negeri; melaksanakan satu rancangan pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh; melaksanakan peraturan-peraturan Taman Laut; menghadkan penggunaan pengunjung; melatih para pengurus Taman Laut, pengusaha pelancongan dan pengusaha penyelaman; dan juga mewujudkan rancangan-rancangan pengawasan dan penilaian. Masalah-masalah pembuangan kumbahan dan sisa pepejal di Taman Laut harus diberi perhatian segera; jika tidak, ini akan membawa kesan-kesan buruk kepada terumbu di samping menimbulkan rasa tidak puas hati pelancong. Penyediaan kemudahan-kemudahan penerimaan dan pembuangan sisa pepejal dan kumbahan yang berkesan di Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Kedah adalah penting bagi pengurusan yang betul di Taman Laut Pulau Payar. Usaha-usaha harus dibuat untuk mengawasi bahawa kegiatan-kegiatan di 'Langkawi Coral Pontoon' adalah mengikut peraturan-peraturan Taman Laut. Pengawasan ini juga harus diadakan di sekitar kawasan terumbunya untuk memastikan sekiranya terdapat sebarang kesan buruk terhadap terumbu akibat kehadiran pontoon itu sendiri.

Pengalakkan pelancongan bagi Taman Laut Pulau Payar, Pulau Langkawi, Kedah dan kawasan barat laut Semenanjung Malaysia harus mengandungi matlamat-matlamat pemuliharaan Taman Laut dan ditujukan kepada para pelancong yang lebih sedar dan bertanggung jawab terhadap alam sekitar. Kekurangan maklumat mengenai Taman Laut dan persekitaran marinnya mesti diatasi dan maklumat ini mesti diberitahui kepada para pengunjung dan pengusaha pelancongan. Kegiatan-kegiatan lain seperti denai-denai semula jadi di Pulau Payar harus dipromosikan untuk mengurangkan tekanan pengunjung terhadap terumbu-terumbu karang. Beberapa buah pulau yang terdapat di sekitar Pulau Langkawi seperti Pulau Singa, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah harus diperkenalkan kepada para pengunjung yang bukan pensnorkel atau penyelam. Pulau-pulau lain yang terdapat terumbu-terumbu karang di sekitar Pulau Langkawi harus dikenal pasti dan kemungkinan untuk mengalihkan tumpuan para pelancong ke sana patut diterokai.

Langkah untuk memastikan tujuan-tujuan pemuliharaan Taman Laut Pulau Payar tidak dijejaskan oleh aktiviti-aktiviti pelancongan harus diambil sekarang. Perancangan pelancongan bagi Taman Laut ini harus disepadukan dengan baik bersama-sama keseluruhan rancangan pelancongan bagi kawasan barat laut tersebut. Kemapanan industri pelancongan di Taman Laut dan kawasan sekitarnya bergantung kepada kesejahteraan persekitaran marinnya terutama sekali terumbu-terumbu karang. Industri pelancongan, terutama sekali ke Pulau Langkawi, mungkin akan terjejas oleh kerana Taman Laut Pulau Payar merupakan satu daya tarikan yang penting bagi kebanyakan para pelancong ke sana. Di samping menguntungkan kesemua pihak yang berkepentingan, pelancongan juga boleh mendatangkan faedah seandainya dilaksanakan secara mapan dari segi alam sekitar, sosial dan ekonomi.


Previous Page Top of Page Next Page